Terkini
Loading...

IKlan

INFO KESIHATAN MENTAL




Perubahan landskap sosial hari ini telah banyak menyumbang kepada wujudnya peningkatan masalah kesihatan dan gangguan psikologi seperti isu perkahwinan, keluarga, tekanan kerja, penagihan alkohol, penyalahgunaan dadah dan sebagainya. Keadaan ini boleh menyebabkan kemurungan, kebimbangan, stres dan pelbagai kecelaruan psikologi yang memberi impak terhadap kualiti dan kesejahteraan hidup secara holistik.

Kesihatan mental seringkali dikaitkan dengan penyakit mental tetapi kenyataan ini adalah kurang tepat. Kesihatan mental berkait rapat dengan kehidupan kita. Ia merangkumi perasaan, fikiran dan tingkahlaku dalam diri sendiri, kemampuan untuk berinteraksi secara sihat dengan orang lain, kumpulan dan persekitarannya serta bagaimana seseorang itu mengendalikan tanggungjawab, cabaran dan tekanan yang timbul dalam kehidupan seharian. Individu yang sihat mental berupaya mengekalkan perhubungan yang harmoni dengan orang lain, mengambil bahagian dalam aktiviti kemasyarakatan dan boleh menyumbang di dalam masyarakat (Definisi Pertubuhan Kesihatan Sedunia - WHO).

Kajian Beban Penyakit oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga meramalkan masalah kemurungan yang menjadi antara punca penyakit mental akan naik ke tangga kedua teratas selepas penyakit jantung iskemia di seluruh dunia menjelang 2020.

Di Malaysia, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan ke-III pada 2006 menunjukkan kewujudan masalah kesihatan mental adalah 11.2 peratus di kalangan orang dewasa dan 20.3 peratus di kalangan kanak-kanak dan remaja. Kajian ini juga telah melaporkan bahawa seramai 3 juta daripada 26 juta rakyat Malaysia mengalami masalah kesihatan mental.

Daripada statistik tersebut, seramai 20 hingga 30 orang dari setiap 100,000 rakyat didapati membunuh diri setiap tahun. Peningkatan turut dilihat dalam trend mendapatkan rawatan masalah mental di hospital-hospital kerajaan sebanyak 15.6 peratus atau 400, 227 pada tahun 2008 berbanding 346, 196 pesakit pada tahun 2007. Ini menggambarkan bahawa kesihatan mental di kalangan masyarakat hari ini terjejas dan kian merosot.

Penyakit mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik. Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan penyakit mental adalah antara 5 penyakit utama yang menyebabkan hilang upaya di seluruh dunia dan dijangkakan pada tahun 2020 penyakit ini akan menjadi penyebab kedua tertinggi.


Kesejahteraan mental boleh memberikan kesan terhadap kesihatan fizikal. Penyakit mental yang serius boleh memberikan impak terhadap kehidupan. Individu yang menderita atau mengalami masalah mental biasanya kurang mengambil berat dari perspektif fizikal mereka. Berdasarkan kajian, kesan penyakit mental dalam kehidupan adalah lebih besar daripada risiko-risiko lain seperti merokok, obesiti dan kencing manis.


Ciri individu mengalami kecelaruan mental;
  1. Bertentangan dengan Kebiasaan: Individu memberitahu melihat dan mendengar perkara yang tidak wujud iaitu halusinasi dan delusi.
  2. Tingkah laku bertentangan dengan nilai masyarakat: setiap masyarakat/budaya memiliki tatacara dan adab yang biasa diikuti
  3. Persepsi dan Interpretasi realiti: individu yang berhadapan dengan tekanan dan kesedihan. Selain itu, mereka cenderung untuk menafikan dan tidak dapat menerima kenyataan.
  4. Salah Adaptasi: tingkah laku yang membataskan kefungsian, peranan dan tingkahlaku yang menyebabkan kesedihan dan ketakutan serta takut berada di tempat yang ramai orang seperti pasaraya dan majlis keramaian.
  5. Kesusahan Peribadi: masalah emosi seperti mengalami kebimbangan, takut dan kemurungan. Emosi berpanjangan hingga mengganggu individu untuk berfungsi secara normal.
  6. Tingkah laku berbahaya: individu yang ingin membunuh diri dan melakukan perkara mengancam nyawa orang lain akibat tekanan emosi.

Secara umumnya penyakit mental boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu :

1. Neurosis

Individu yang tergolong di dalam kumpulan ini lazimnya mengalami perubahan dan gangguan terhadap aspek pemikiran, perasaan dan kelakuan namun ia tidak sampai ke tahap yang boleh menjejaskan kewarasan. Individu yang mengalami penyakit neurosis selalunya sedar keadaan kesihatan namun aktiviti harian sedikit terganggu. Contoh penyakit neurosis ialah:
  1. Kemurungan
  2. Kemurungan adalah perasaan sedih yang melampau dan berpanjangan. Sedih adalah perasaan yang sering kita alami namun jika perasaan sedih itu terlalu berat untuk ditanggung dan berpanjangan melebihi tempoh dua minggu serta mengganggu fungsi kehidupan seharian maka ia bukanlah sedih yang lazim tetapi penyakit kemurungan.
  3. Kebimbangan
  4. Penyakit ini digejalai oleh perasaan bimbang, resah dan gelisah. Seseorang itu akan berasa tertekan, tegang, berpeluh, berdebar debar dan berasa takut yang melampau akan memberi bahaya yang mereka tidak ketahui puncanya.


2. Psikosis

Mereka yang mengalami penyakit Psikosis mengalami perubahan yang amat ketara di dalam aspek pemikiran, perasaan dan tingkah laku mereka. Kewarasan mereka juga terjejas. Penderita akan berasa keliru dengan mengalami suara-suara ghaib yang berkomunikasi dengan mereka yang dikenali sebagai Halusinasi. Mereka juga mempunyai kepercayaan pelik yang tidak dikongsi oleh orang lain dan menyebabkan reaksi melampau dari pesakit berkenaan yang dipanggil Delusi. Antara contoh Delusi ialah beranggapan ada orang mahu menganiaya atau berbuat jahat kepada mereka menyebabkan mereka bertindak menyerang orang yang disyakinya secara membahayakan. Mereka mungkin bercakap dengan merapu atau mengarut, berkelakuan aneh seperti bercakap seorang, ketawa atau marah dengan tiada bersebab. Contoh Psikosis yang sering dialami adalah:
  1. Skizofrenia
  2. Antara ciri utama Skizofrenia ialah individu akan mengalami halusinasi, delusi, kecelaruan pemikiran, kecelaruan pertuturan dan tingkah laku. Selain itu juga prestasi kerja mereka juga merosot dengan ketara.
  3. Kecelaruan Bipolar
  4. Penyakit ini mengakibatkan mereka mengalami perubahan ketara dari segi mood dan emosi. Mereka sering hilang kawalan dan menjadi terlalu gembira (fasa mania) atau terlalu sedih (fasa kemurungan).


3. Kecelaruan Personaliti

Secara asasnya kecelaruan ini membuat seseorang itu mengalami kecacatan perwatakan atau karakter. Masalah yang dialami ini boleh memberi kesan kepada perhubungan interpersonal dengan orang di sekelilingnya.
Terdapat beberapa faktor yang berkemungkinan boleh tercetusnya penyakit mental. Antaranya ialah:
  1. Faktor Genetik / Keturunan

    Ahli di dalam keluarga yang mempunyai sejarah penyakit mental berisiko lebih tinggi berbanding populasi yang tiada sejarah penyakit berkenaan.
  2. Gangguan Bahan Kimia Dalam Otak

    Bila bahan kimia dalam otak yang dikenali sebagai neurotransmitter tidak berfungsi dengan baik gejala penyakit mental akan muncul. Sebagai contohnya:
    • Skizofrenia: Penghasilan dopamin secara berlebihan.
    • Kemurungan: Paras serotonin terlalu rendah.
    • Mania: Paras serotonin meningkat secara melampau.
    • Kebimbangan: terdapat gangguan di dalam pengeluaran dan fungsi noradrenalin.
  3. Jangkitan Virus

    Mengikut kajian ada penyakit akibat jangkitan virus telah dikaitkan dengan kemunculan penyakit mental.
  4. Sejarah Hidup Yang Getir

    Antara contohnya ialah mengalami proses kelahiran yang sukar, kehilangan ibu bapa semasa kecil, terlalu banyak mengalami cabaran hidup yang sukar.
  5. Keadaan Sosio-Ekonomi Yang Rendah

    Faktor kemiskinan, tiada kemudahan asas atau keganasan di dalam masyarakat boleh meningkatkan masalah penyakit mental.

Ya, penyakit mental boleh diubati. Ini kerana kemajuan dalam bidang perubatan moden telah membolehkan penemuan ubat-ubatan yang lebih berkesan di dalam merawat penyakit mental. Hampir semua ubat yang digunakan untuk merawat penyakit mental mengambil masa sebelum kesan positifnya boleh dilihat. Kesabaran meneruskan pengambilan ubat secara konsisten amat digalakkan. Selain ubat psikotropik pendekatan sokongan seperti kaunseling, psikoterapi, terapi kognitif, terapi berkelompok, terapi keluarga, pendidikan psikologi, terapi pemulihan cara kerja dan pemulihan psiko-sosial telah terbukti sama pentingnya.

Ya. Individu yang ingin mengetahui status masalah kesihatan mental mereka boleh mengambil program saringan kesihatan mental secara atas talian kerana ianya mudah, cepat dan ringkas. Walaubagaimanapun ia tidak dapat menggantikan pemeriksaan dan penilaian yang lazim dijalankan oleh anggota kesihatan mental yang terlatih.

stop stress
  1. Mengurus Diri Sendiri
    • Menyedari kelemahan dan kekuatan diri sendiri.
    • Berupaya mengawal perasaan.
    • Sanggup menerima kegagalan.
    • Mampu menghindari kegiatan yang tidak bermoral.
    • Menghargai diri sendiri.

    sosial
  2. Pergaulan Sosial Yang Sihat
    • Mampu berkomunikasi secara berkesan dengan orang lain.
    • Mampu memberi dan menerima kasih sayang.
    • Tahu menghargai dan mempercayai orang lain.
    • Dapat menerima pendapat orang lain secara terbuka

  3. cabaran
  4. Bersedia Menghadapi Cabaran
    • Berupaya menghadapi dan menyelesaikan masalah.
    • Mampu mengatasi konflik dengan bijak.
    • Mampu membuat keputusan untuk diri sendiri.
    • Bersedia mendapatkan pertolongan sekiranya gagal menyelesaikan masalah harian.

mental positif
  • Menerima kenyataan diri secara realistik.
  • Mengendalikan masa dengan baik ( time management ).
  • Merancang perubahan dalam kehidupan secara bijak.
  • Memupuk hubungan harmoni dan kasih sayang dengan ahli keluarga dan orang lain.
  • Menjaga kesihatan fizikal.
  • Menyediakan masa untuk aktiviti fizikal dan riadah.
  • Memastikan rehat dan tidur yang cukup.
  • Mengendalikan tekanan mental secara berkesan.
  • Mengamalkan asas-asas kerohanian yang baik.
  • Berkongsi masalah dengan orang lain dan mendapat pertolongan profesional sekiranya perlu.

0 comments :

Post a Comment

Back To Top