Terkini
Loading...

IKlan

3 Kaedah merawat Demam dari rumah tanpa perlu jumpa doktor



Demam, juga dikenali sebagai pyrexia merupakan satu jenis tindak balas badan untuk melawan virus dan bakteria yang menyebabkan jangkitan. Sesetengah bakteria dan virus boleh meningkatkan suhu badan. Dengan tindak balas badan ini, boleh melemahkan kuman-kuman tersebut. Secara tidak langsung boleh mengurangkan kadar pembiakannya.

Demam adalah tindak balas yang baik sebenarnya, tetapi boleh melemahkan badan, sebab itu kita beranggapan bahawa demam ini sesuatu yang tidak baik dan perlukan rawatan secepat yang mungkin.
Cara merawat demam bukanlah sesuatu yang rumit lagi kerana teknologi perubatan sudah berkembang maju. Namun, bagi sesiapa yang tidak suka makan ubat dan bergantung kepada pil, maka adalah terbaik bagi anda untuk mengikuti beberapa petua dan cara merawat demam ini

Kaedah #1: Melakukan Perubahan Kepada Persekitaran Bilik/Rumah

Demam yang biasa tidak perlukan banyak kerenah kerana ini sakit yang biasa. Tetapi sekiranya anda mahu cepat sembuh, anda boleh lakukan perkara berikut:

1. Banyakkan Minum Air

Orang yang demam digalakkan untuk meminum sekurang-kurangnya segelas air masak.
setiap 2 jam. Hal ini kerana badan orang yang demam lebih panas, dan memerlukan banyak bendalir di dalam badan untuk mengekalkan suhu badan yang optimum.

Sekiranya mereka tidak mendapat air yang mencukupi, ia boleh memburukkan keadaan – sakit kepala, pening, tekanan darah rendah dan mungkin sawan.

Minuman yang mempunyai elektrolit seperti 100 Plus atau Revive boleh membantu orang yang demam kembali hidrat.

Untuk bayi pula, adalah terbaik dengan satu cawan air masak sejam, 2 cawan sejam pula bagi kanak-kanak kecil. Manakala 3 cawan sejam bagi kanak-kanak.

2. Pakaian Yang Sesuai

Sebaiknya adalah pakaian yang longgar, tidak terlalu ketat, dan paling penting adalah selesa. Hal ini untuk memberikan keselesaan kepada badan. Elakkan memakai pakaian dan selimut yang tebal kerana ia boleh mengurangkan peredaran udara.

3. Kurangkan Suhu Bilik

Suhu yang tinggi di dalam bilik boleh memudaratkan lagi pesakit dan menyebabkan berpeluh dengan lebih banyak – lantas membawa kepada dehydration.
Buka tingkap dan pintu, dan jika berehat/tidur di ruang yang luas juga boleh membantu.

4. Dapatkan Rehat Yang Banyak

Mungkin ini tidak perlu diutarakan, tetapi memang rehat dapat membantu proses penyembuhan dan menguatkan sistem imun badan. Kurangkan pergerakan badan, dan tidur jika mahu.
Satu kajian menunjukkan bahawa kurang tidur boleh melemahkan sistem imun, meningkatkan tekanan diri (stress), boleh menyebabkan penyakit kronik dan lain-lain.
Untuk memudahkan anda tidur, langkah-langkah ini boleh membantu.

5. Ambil Ubat-Ubatan

Jika demam anda sangat teruk, jangan teragak-agak untuk mengambil ubat-ubatan. Antara ubat yang boleh diambil adalah yang mengandungi (namun tidak terhad kepada): acetaminophen, ibuprofen, dan aspirin.
Dapatkan nasihat doktor jika perlu. Ataupun anda boleh dapatkan ubat-ubatan demam/selesema dengan mudah di farmasi atau kedai runcit yang berdekatan.

6. Mandi Dengan Air Suam

Orang yang demam dinasihatkan untuk mandi dengan air yang suam selama 5-10 minit. Ini boleh membantu badan mengeluarkan peluh, menyejukkan badan, dan menghilangkan hingus.
Cuma pastikan air tersebut tidak terlalu panas.

7. Sejukkan Kepala

Jika mandi tidak boleh menyamankan badan anda untuk jangka masa yang lama, bolehlah menggunakan tuala lembab dan letakkannya di atas dahi. Rendam tuala kecil di dalam air paip, perah, kemudian letakkannya di atas dahi.
Ini boleh menyejukkan badan pesakit dengan baik. Alternatif yang lain adalah dengan menggunakan pek ais atau gunakan produk komersial seperti cold fever. Semua ini boleh membantu cepatkan proses penyembuhan.

8. Elakkan Hidung Tersumbat

Biasanya demam akan disertakan dengan selesema. Oleh itu, adalah baik sekiranya pesakit dapat hilangkan masalah hidung tersumbat semasa demam ini, kerana ia boleh melambatkan proses penyembuhan.
Pesakit perlulah menghembuskan hingus mereka dari lubang hidung, satu persatu. Kemudian, basuh tangan mereka untuk elakkan sebarang jangkitan atau bakteria lain.

9. Elakkan Keluar Rumah

Adalah terbaik sekiranya anda berada di rumah semasa sakit, kerana suhu mudah dikawal berbanding di luar.

10. Elakkan Merokok

Selain boleh meningkatkan risiko kanser paru-paru, amalan merokok juga boleh melemahkan sistem imun badan – terutama dalam keadaan badan yang sakit disebabkan jangkitan ini.
Maka, sebaiknya pesakit menjauhkan diri daripada semua unsur rokok, nikotin dan produk-produk tembakau yang lain.
Kanak-kanak yang demam juga perlu diawasi agar mereka tidak terdedah dengan asap rokok.

11. Kurangkan Pengambilan Kafein

Pengambilan kafein yang berlebihan boleh memudaratkan demam anda. Kafein yang berlebihan boleh menyebabkan sakit kepala, pening, insomnia dan cirit-birit.
Tambahan lagi, ia boleh menyebabkan badan anda cepat hilang air, dehydration. Oleh itu, cubalah elakkan daripada minum air kopi semasa anda demam.

12. Berjumpa Doktor

Walaupun tidak mustahil anda boleh merawat demam di rumah, tetapi ada kalanya anda perlukan rujukan daripada doktor. Terutama kalau demam anda berlanjutan terlalu lama atau suhu mencapai 40 darjah celsius.
Selain itu, pesakit demam juga digalakkan untuk bertemu doktor jika:
  • Kanak-kanak bawah 3 bulan.
  • Kanak-kanak bawah 2 bulan dengan demam panas, atau demam yang lebih 2 hari.
  • Anda pernah melancong, melakukan pembedahan atau vaksin, atau terdedah dengan bahan-bahan kimia.
  • Penghidap penyakit lain seperti kencing manis, anemia, cystic fibrosis, ataupun penyakit jantung/paru-paru.
  • Berasa sakit semasa kencing.

Kaedah #2: Ubah Cara Pemakanan

Semasa demam, badan anda perlukan banyak khasiat dan protein untuk stabilkan kembali sistem imun badan, serta melawan jangkitan. Berikut adalah beberapa cadangan:

1. Elakkan Makanan Yang Menyebabkan Keradangan (Inflammatory)

Makanan tersebut boleh memudaratkan pesakit yang demam, sama ada semakin teruk atau berlanjutan. Ia juga boleh menyebabkan ketakcernaan dan kembung, membuatkan pesakit tidak selesa.
Antara makanan yang tergolong dalam kalangan ini adalah:
  • Roti, pastri dan donut
  • Makanan yang digoreng, atau berminyak
  • Minuman berkarbonat seperti soda
  • Daging merah

2. Makanan Makanan Anti-Keradangan (Anti-Inflammatory)

Sesetengah makanan boleh membawa kepada keradangan, dan ada juga makanan yang boleh mengurangkannya. Anda digalakkan untuk memakan makanan berikut semasa demam:
  • Buah-buahan seperti oren
  • Kekacang
  • Sayur-sayuran hijau, yang tinggi anti-oksida
  • Ikan

3. Ambil Vitamin C

Vitamin C sangat penting kerana ia mengandungi kandungan anti-oksida yang tinggi yang boleh membantu sistem pertahanan badan, mengawal gula dalam darah, meransang pembentukan sel, dan mengurangkan risiko penyakit kronik.
Oleh itu, pastikan anda mendapat bekalan vitamin C yang mencukupi, terutama semasa sakit. Anda boleh dapatkan supplement vitamin C di farmasi, ataupun dari makanan berikut:
  • Buah sitrus seperti oren, anggur dan lemon
  • Bayam dan brokoli
  • Tomato
  • Mangga, betik dan tembikai

4. Ambil Magnesium

Magnesium sangat penting untuk penghasilan tenaga. Ia juga mengurangkan rasa gelisah, tekanan, keletihan dan sakit dada. Pada masa yang sama menstabilkan tekanan darah, kolestrol dan kadar gula dalam darah.
Kekurangan magnesium boleh melemahkan sistem pertahanan badan. Antara makanan yang anda boleh makan untuk mendapatkan magnesium adalah ikan salmon, tuna, coklat hitam, sayuran hijau, kekacang, soya dan pisang.

Kaedah #3: Petua dan Merawat Demam

Demam ini merupakan penyakit yang sudah lama dan biasa, oleh itu tidak hairanlah kalau demam ini mempunyai banyak petua dan rawatan tradisional. Berikut adalah beberapa daripadanya:

1. Minum Teh Herba

Teh herba mempunyai banyak kadar anti-oksida dan anti-keradangan yang boleh membantu badan anda untuk rehat, memudahkan pencernaan dan mengurangkan sakit demam. Sesetengah teh mengambil masa selama 2-3 jam sebelum memberikan kesan.
Antara teh yang anda boleh cuba adalah:

i. Teh Chamomile

Teh ini boleh mengurangkan simptom insomnia, keresahan, keradangan, pedih hulu hati, dan sakit tekak. Anda boleh membeli teh ini di pasar raya yang berdekatan.

ii. Teh Pudina

Teh ini boleh mengurangkan kesesakan yang disebabkan oleh demam atau selesema. Pada masa yang sama mempunyai sifat untuk menyejukkan badan, kerana ia mempunyai mentol. Anda boleh dapatkan teh ini di pasar raya.

2. Minum Air Beras

Apabila demam itu disertakan dengan cirit-birit atau ketakcernaan, anda boleh mengurangkannya dengan meminum air beras. Anda boleh sediakan air beras dengan mendidihkan 2 ½ sudu teh beras di dalam 1 liter air selama 30 minit. Kemudian asingkan beras tersebut, kemudian minum.

3. Halia

Halia boleh mengurangkan simptom keresahan, rasa loya, muntah-muntah, tekanan darah tinggi, dan masalah pencernaan yang lain. Anda boleh dapatkannya di dalam bentuk kapsul supplement. Halia merupakan herba yang kuat, oleh itu pengambilan setiap hari adalah sekitar 4 gram sahaja.
Selain itu, perkara berikut hendaklah dipatuhi:
i. Wanita mengandung tidak boleh mengambil lebih daripada 1 gram halia setiap hari.
ii. Tidak boleh diberikan kepada bayi atau kanak-kanak di bawah 2 tahun. Dapatkan nasihat doktor untuk dos yang sesuai.

Amaran:

1. Jika demam anda mencecah 40ºC, sila dapatkan nasihat doktor.
2. Jangan bersenam semasa anda demam.
3. Secara umum, demam tidak berbahaya dan boleh sembuh dengan cepat, sekiranya menggunakan cara yang tepat.
4. Jika anda mengesyaki anda mendapat demam denggi, cepat-cepat mendapatkan rawatan segera.

Kesimpulan

Kesimpulannya, penyakit demam biasa ini bukanlah sesuatu yang sangat serius. Namun, jika anda mendapati bahawa demam yang dihadapi tidak sembuh-sembuh lagi selepas seminggu, adalah terbaik untuk mendapatkan nasihat doktor.
Harap artikel tentang merawat demam di rumah ini membantu anda untuk cepat sembuh dan lebih bertanggungjawab, tidaklah terlalu bergantung kepada doktor sahaja.
Sekian.

Sumber : panduansaya

0 comments :

Post a Comment

Back To Top